• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tilawah dan Hafazan Subur Kecintaan Pada Al-Quran

MARANG, 28 Februari - Usaha kerajaan negeri menganjurkan majlis tilawah dan hafazan al-Quran diharap mampu menyuburkan kecintaan masyarakat untuk lebih menghayati kitab suci umat Islam itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, setiap individu Muslim perlu mendampingi al-Quran bagi memperbaiki jalan hidupnya.

"Al-Quran adalah sehebat-hebat mukzijat kerana padanya ada kebenaran yang abadi lagi hakiki.

"Al-Quran menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan setiap zaman mahupun generasi.

"Perbahasan isi kandungan al-Quran sangat lengkap mencakupi segala aspek kehidupan baik dari sudut akidah, ibadah, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan bahasa, budaya dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, hari ini.

Hadir mengiringinya ialah isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah dan isteri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Dr. Samsuri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana dan pihak terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

"Dengan objektif mengangkat syiar Islam di Negeri Terengganu Darul Iman, kerajaan negeri meneruskan penganjuran majlis ini pada tahun ini.  

Mudah-mudahan, dengan tradisi penganjuran ini mampu menghasilkan sebuah kejayaan yang lebih baik dari masa ke masa serta mampu mengekalkan budaya mencintai dan mengambil berat urusan Al-Quran sekaligus memartabatkan syiar Islam di bumi ini," katanya.

Majlis tilawah tahun ini disertai 16 qari daripada seluruh daerah dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

 

 

 

 

 

 


Tag: