• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tindakan Tegas Jika Sebar Berita Palsu Empangan Kenyir

HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir. 
 
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata ini berikutan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita palsu tentang banjir yang berlaku di Pantai Timur berpunca dari pelepasan air Tasik Kenyir.

"Saya cuma nak bagi amaran kepada mereka di luar sana yang suka viral dengan mengatakan banjir di Terengganu disebabkan oleh air yang dilepaskan empangan, adalah tidak betul.

"Jika ada mereka yang suka viral isu ini, kita boleh ambil tindakan dan siasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda.

Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang didapati menyebarkan berita palsu,"katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Beliau berkata, Empangan Tasik Kenyir sebenarnya selamat dan telah banyak menyelamatkan kampung-kampung dan bandar di sekitar pesisir sungai Terengganu daripada banjir.

 

 


Tag: