• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tindakan Tegas Terhadap Pemilik Premis Biak Aedes


Dr Mohammad bersama pemenang bagi kategori oral dan poster dalam Persidangan Denggi Terengganu 2017 di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Tindakan lebih tegas akan diambil termasuk dihadapkan ke mahkamah kepada pemilik premis yang berdegil membiarkan persekitaran mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, segelintir penduduk tidak memberi kerjasama sepenuhnya dan memandang remeh mengenai wabak denggi yang berlaku di kawasan mereka.

Katanya, sehingga Mac terdapat satu lokaliti sahaja yang terdapatnya wabak denggi iaitu di Pulau Rusa Hilir, Kuala Terengganu.

“Masalah sekarang adalah orang kampung tidak memberi kerjasama untuk  turut sama membersihkan kawasan rumah mereka malah ada yang menghalang pihak Jabatan Kesihatan termasuk untuk memberi kompaun kepada mereka.

“Selepas pada ini, penguatkuasaan lebih tegas akan diambil. Selain memberi kompaun kepada pesalah mereka bakal dihadapkan ke mahkamah jika ingkar dengan arahan yang diberikan,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Denggi Terengganu 2017 di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Mohammad, sehingga 20 Mac lalu, kadar bilangan kes denggi di Terengganu dalam keadaan terkawal apabila hanya merekodkan 80 kes.

Katanya, sepanjang 2017, sebanyak 550 premis didapati positif pembiakan nyamuk Aedes dan kesemuanya dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 Pindaan 2000.

Dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, seramai 450 peserta melibatkan pegawai dan kakitangan di bahagian kesihatan awam dan perubatan seluruh negeri.

Sepanjang persidangan itu, 42 kajian turut dibentangkan meliputi beberapa aspek termasuk kawalan dan pencegahan kes denggi di lapangan, pemantauan entomologi serta pengurusan sampel di makmal selain pendidikan kesihatan.

Tag: