• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tingkat Ekonomi Rakyat Melalui Sektor Pertanian

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak 93 program dan menyiapkan 45 projek sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021 demi mempertingkatkan ekonomi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 13,702 orang golongan sasar telah menerima manfaat langsung daripada program tersebut.

“Sektor pertanian merupakan sumber ekonomi kepada kira-kira 70 peratus rakyat Terengganu.

“Antara langkah kerajaan negeri dalam membantu taraf ekonomi penduduk termasuk menyelesaikan isu utama berkaitan tapak tanah pertanian, perikanan dan penternakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, menyedari ramai rakyat tiada tapak untuk diusahakan, kerajaan membuka ruang untuk rakyat memanfaatkan tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS). 

“Turut dilakukan, pemutihan tanah-tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan menamatkan peserta yang tidak produktif dan mengisi lot-lot kosong dengan peserta baru.

“Menyelesaikan isu penerokaan haram melalui pemberian LMS, membangunkan tanah terbiar dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan bantuan serta latihan kemahiran untuk sektor pertanian. 

“Salah satunya bantuan perkhidmatan pengembangan seperti khidmat nasihat teknikal dan kursus kemahiran.

“Manakala bantuan pula seperti bekalan makanan ikan kepada penternak terjejas PKP, warga tani positif COVID-19,bantuan one off  input pertanian kepada 227 penanam cili terjejas kejatuhan harga, RM300,000 bantuan one off mekanisasi ladang kepada 52 petani seluruh negeri serta bantuan input dan peralatan sepert baja,racun, foliar, benih, plastik UV, pam air, GPS, kawat bubu, pukat tangsi, kit memancing,” ujarnya.