• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TLHT Kembali Bersaing Dalam Kancah Hoki Malaysia

KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bakal kembali ke kancah Liga Hoki Wanita Malaysia 2023 setelah 'berehat' selama dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan wanita tersebut bakal tampil berwajah baru selepas kali terakhir bergelar naib johan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020.

"Tahun ini, pasukan TLHT akan digabungkan bersama pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan keutamaan untuk menggilap pemain-pemain Sukan Malaysia (Sukma) bagi menghadapi kejohanan Sukma 2024 nanti.

"Kerajaan negeri turut menambah penajaan sebanyak RM500,000 menjadikan jumlah penajaan keseluruhan RM2.5 juta bagi sempena penubuhan Akademi Hoki Terengganu (AHT) yang akan dilaksanakan dengan kerjasama MSNT dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Memperkenalkan Pemain, Jersi dan Penaja bagi saingan TNB-MHL 2023 di Hotel Permai, semalam.

TLHT akan dilatih oleh bekas pemain berpengalaman THT dan kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah serta bekas pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Rahmah Othman masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih.

Dalam pada itu, pasukan Hoki Terengganu (THT) berazam mempertahankan kejuaraan disamping memberi cabaran dalam saingan musim ini. THT akan memulakan saingan dalam Piala Sumbangsih menentang pasukan TNB pada 9 Februari ini.

 


Tag: