• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

TNB Galak Eko Pelancongan Di Sungai Yak Yah

KEMAMAN, 1 Oktober - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Bahagian Hal Ehwal Korporatnya memperuntukkan sejumlah dana bagi menggalakkan eko pelancongan di Kampung Yak Yah, Ibok terutama di sungainya yang kaya dengan pelbagai habitat.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB Datuk Omar Sidek berucap didalam lawatan kerjanya di kampung berkenaan kelmarin mengharapkan limpahan dari pembangunan eko pelancongan ini nanti bukan sahaja bakal dinikmati oleh kerajaan negeri malah boleh juga dirasai oleh komuniti setempat.

Tapak semaian Pokok Berembang

"Tujuan kita adalah untuk memulihkan ekosistem di sungai kampung ini yang ditelan arus pembangunan terutama pemuliharaan habitat kelip-kelip yang menjadi ikon TNB," katanya.

"Sebagai contohnya Kampung Kuantan di Kuala Selangor yang dijadi kampung angkat oleh TNB, kini telah menjadi satu pusat eko pelancongan yang utama di Selangor," ujarnya lagi.

Ketua Pengawalseliaan dan Alam Sekitar TNB Research Shahril Mod Husin yang turut berucap dimajlis tersebut menjelaskan bahawa program kelip-kelip ini juga boleh menjana kewangan yang agak besar dan boleh memperkasakan ekonomi masyarakat diradius ini.

"Satu kejayaan TNB yang telah dikecapi adalah kita telah berjaya memperkasakan komuniti di Kampung Kuantan itu untuk berdikari, disamping pemuliharaan ekosistem sungainya mereka juga berjaya menjana ekonomi mereka sendiri," ucapnya.

"Di Kinabatangan, Koperasi Pelancongan Kampung Batu Putih berjaya menjana kira-kira RM1.6 juta pendapatan setahun dengan menanam semula sejenis pokok dimana buahnya menjadi makanan Monyet Belanda. Ianya boleh menjadi contoh kepada komuniti disini," jelasnya.

Datuk Omar dan deligasinya dibawa melawat tapak semaian habitat kelip-kelip iaitu Pokok Berembang di Balai Raya Kampung Yak Yah. Gimik menanam pokok tersebut juga dilakukan oleh pengurus besar itu dan pada sebelah malamnya pula mereka turut dibawa menyusuri Sungai Yak Yah untuk melihat kelip-kelip

.


Tag: