• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

'Tour Gateh D' Tranung 2023' Ketengah Elemen Songket Warisan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Elemen songket diperkenalkan dalam rekaan jersi terbaru Tour Gateh D' Tranung 2023 bagi mengetengahkan salah satu warisan Terengganu melalui sukan berbasikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif tersebut merupakan sokongan bersama Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) dalam acara itu.

"Terengganu juga terkenal dengan songket ini dan memang matlamat asal kita melalui semua daerah antaranya untuk membawa imej pelancongan Terengganu.

"Jadi, kita letakkan ia sebagai satu pencetus dalam memperkenalkan produk Terengganu dan imej negeri Terengganu," katanya.

Elemen songket itu akan dipamerkan pada lima jersi yang dipertandingkan iaitu jersi Elite, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan bagi Pelumba bawah 21 tahun.

Menurut Hishamuddin, penganjuran kali kedua itu melibatkan 27 pasukan terdiri daripada 10 pasukan SUKMA negeri, sembilan kelab tempatan serta penampilan lapan pasukan elit.

"Antara yang akan datang ialah daripada Europ Trip Cycling (Eropah), Nusantara (Indonesia), Maverick (Singapura) dan pelumba-pelumba daripada Qatar.

"Perlumbaan ini akan melibatkan laluan sepanjang 650 kilometer dengan penglibatan 164 pelumba," tambahnya.

Tour Gateh D' Tranung 2023 mempertandingkan lima kategori perlumbaan iaitu Elite, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan kategori Bawah 21 tahun.

Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 3 September hingga 8 September dengan kerjasma Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT).


Tag: