• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tour Gateh D'Tranung: 'Salah Laluan Berlaku Luar Jangkaan'

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Isu salah laluan yang melibatkan sebahagian pelumba dalam saingan peringkat pertama Tour Gateh D'Tranung 2022, semalam adalah isu kecil yang tidak disengajakan.

Pengarah Teknikal kejohanan, Mazlan Md Jail yang juga merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, ia berlaku di luar jangkaan pihak penganjur.

"Ini kerana dalam peraturan perlumbaan, mana-mana pelumba yang menyertai kejohanan hendaklah mengetahui laluan perlumbaan dalam erti kata lain, mengulang kaji laluan tersebut.

"Pihak penganjur telah menyediakan papan tanda 'exit' ke kiri secukupnya tanpa halangan di mana kita menyediakan tiga papan tanda di lokasi itu," katanya.

Jelasnya, pelumba yang terlibat dalam isu berkenaan adalah dari kelompok kedua iaitu 'chaser'/ pengejar.

Tambah Mazlan lagi, beliau juga tidak dapat mengenal pasti alasan mana-mana individu yang melakukan kesilapan itu.

"Jadi, saya anggap ini kesilapan kecil semasa kejohanan yang tidak mengambil jarak panjang dan menjejaskan 'timing' keseluruhan kejohanan.

"Dalam perlumbaan antarabangsa juga berlaku kesilapan kecil sebegini,' katanya ketika ditemui pemberita sebelum saingan peringkat kedua Tour Gateh D'Tranung 2022, hari ini.

Mazlan yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) turut memaklumkan, setakat ini tiada aduan mahupun bantahan daripada pasukan-pasukan terlibat dalam Tour Gateh D'Tranung berkenaan isu itu.

 

 

 

 


Tag: