• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tourism Malaysia Bantu Promosi Pulau Lang Tengah

SETIU, 2 Oktober - Tourism Malaysia mempertingkatkan promosi produk baharu dalam membantu pemain industri pelancongan menarik pengunjung domestik.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, pengenalan produk baharu di Pulau Lang Tengah yang dinamakan 'Via Ferrata' ini adalah bagi menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik apabila pintu sempadan negeri dibuka nanti.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin

"Program baharu ini merupakan hasil daripada usaha yang telah dijayakan oleh Summer Bay Lang Island Resort," katanya semasa program promosi Pulau Lang Tengah baru-baru ini.

Jelas Hafiz, pengalaman untuk meniti di tepi batu yang berlatar belakangkan Laut China Selatan merupakan tarikan baharu yang unik.

"Ini merupakan salah satu tarikan yang mampu kita tawarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan datang ke Terengganu khususnya ke Pulau Lang Tengah ini apabila pintu sempadan negeri dibuka.

"Setelah pandemik yang melanda negara, kita ingin menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik dengan memperkenalkan produk baharu di Terengganu selain produk tradisional sedia ada.

Tambah Hafiz, kebiasaannya di pulau orang ramai hanya tertumpu kepada aktiviti yang berasaskan air, tetapi dengan produk baharu ini, ia akan menarik minat para 'hikers' yang ingin merasai sendiri cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah.

"Kami daripada Tourism Malaysia sangat mengalu-alukan produk baharu ini yang merupakan pulau yang pertama di Pantai Timur memperkenalkannya," ujarnya.


Tag: