• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tradisi Lumba Perahu Gamit Kembali Budaya Terengganu

KUALA NERUS , 8 Disember - Selepas 30 tahun hilang dalam budaya masyarakat Terengganu, tradisi lumba perahu kini diperkenalkan semula oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu kepada golongan muda dan dewasa.

Program ini telah menarik peminat dari kalangan golongan remaja dan dewasa sekaligus mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung bersama barisan JPKK dengan kemeriahan sambutan yang sangat menggalakkan. 

Mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Abdullah Amir Zabudin berkata, program tersebut telah menarik peminat dan sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurutnya, program sebegini diharap dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dalam memelihara tradisi lumba perahu, warisan zaman berzaman demi generasi seterusnya.

“Penganjuran program seperti ini memberi kebaikan dalam mengekalkan tradisi kita sebagai rakyat Terengganu disamping mengeratkan hubungan antara penduduk kampung yang lain.

“Insya-Allah kerjasama akan sentiasa dihulurkan oleh Pihak Parlimen Kuala Nerus demi kebaikan dan kemakmuran rakyat khususnya di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, lumba perahu menggunakan perahu kayu telah terhenti sejak tahun 1986, iaitu kira-kira 33 tahun selepas ia digantikan dengan perahu gentian kaca.

Dalam pertandingan lumba perahu tersebut, pasukan dari Kampung Buluh Gading telah mendahului tiga pasukan lain dan berjaya membawa pulang RM600 beserta pingat.

Manakala, pasukan Tanjung Sabtu telah meraih tempat kedua diikuti Petai Bubus di tempat ketiga dan Jeram di tempat keempat, masing-masing membawa wang tunai RM480, RM360, RM240 beserta pingat.

Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abd Ghani dan Penolong Pengarah Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti, Mohd Saiful Bahari Ramli.