SETIU, 15 Mei – Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akibat nahas melibatkan lori muatan batu perlu dilihat sebagai 'amaran terakhir' kepada Kementerian Pengangkutan untuk segera bertindak sebelum lebih banyak nyawa melayang tanpa pembelaan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata beliau merakamkan takziah dan rasa dukacita atas insiden itu, menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.
"Saya merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas kehilangan 10 anggota FRU dalam nahas yang membabitkan sebuah lori membawa muatan batu, semalam.
"Mereka adalah wira negara yang amat berharga," katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal polis pada 13 Mei 2025 mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori, sekali gus menyerlahkan kelemahan penguatkuasaan keselamatan jalan raya yang masih belum ditangani secara menyeluruh.
"Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat yang sehingga kini masih belum ditangani secara menyeluruh," tegasnya, sambil mengingatkan bahawa hanya beberapa bulan lalu, tujuh nyawa turut terkorban dalam insiden hampir serupa.
Beliau turut menegaskan bahawa isu keselamatan lori berat bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan dalam Parlimen, namun kerajaan masih belum menunjukkan komitmen yang jelas.
"Isu kemalangan membabitkan lori ini telah saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen, khususnya berkaitan pemanduan berbahaya oleh pemandu lori serta isu muatan berlebihan yang tidak dikawal dengan tegas.
"Namun, usaha kerajaan dalam menangani isu ini masih belum benar-benar menunjukkan komitmen yang tuntas," kata beliau.
Shaharizukirnain mengakui bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk cadangan penubuhan pasukan khas bersama agensi seperti JPJ, namun menganggap usaha itu sekadar pengulangan dasar lama tanpa pelaksanaan yang berkesan.
"Ironinya, ‘task force’ yang sama telah ditubuhkan sejak 2024 di bawah penguatkuasaan JPJ.
"Meskipun pelbagai ‘task force’ ditubuhkan, masih lagi tiada penyelarasan dasar dan penguatkuasaan yang berkesan menyebabkan tragedi terus berlaku," ujarnya.
Ahli Parlimen Setiu itu turut menggesa agar Kementerian mengambil tindakan serius dan menyeluruh dengan memastikan pasukan khas itu benar-benar berfungsi serta memperketat pemantauan teknikal ke atas lori berat, termasuk mewajibkan penyelenggaraan berkala dan penggunaan sistem telemetri.
"Selain mengkoordinasikan ‘task force’ tersebut dengan baik, aspek pengurusan dan pemantauan teknikal ke atas kenderaan berat juga perlu diberi perhatian.
"Ini termasuk memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan secara konsisten serta mewajibkan penggunaan teknologi pemantauan seperti sistem telemetri bagi kenderaan berat berisiko tinggi," tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi telemetri boleh mengesan kelajuan, gaya pemanduan dan penggunaan brek secara langsung serta telah digunakan secara berkesan di negara maju seperti Jepun.
"Telemetri ialah sistem pemantauan berasaskan teknologi yang membolehkan data seperti kelajuan, penggunaan brek, dan gaya pemanduan direkod serta dihantar secara langsung (real-time) ke pusat kawalan.
"Teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Jepun bagi mengesan dan mencegah pemanduan berbahaya sebelum kemalangan berlaku," jelasnya.
Akhirnya, beliau menegaskan bahawa tragedi yang meragut nyawa anggota FRU ini perlu menjadi ‘wake-up call’ yang sebenar, bukan sekadar satu lagi angka dalam statistik kematian jalan raya.
"Pelaksanaan menyeluruh, penyelarasan antara agensi, serta penguatkuasaan yang benar-benar tegas serta berkesan diperlukan dengan kadar segera,” ujarnya.