• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak

KUALA BERANG, 30 Mac- Transaksi aktiviti jual beli dalam talian melonjak ketara sehingga RM2.5 billion tahun lalu, berbanding RM1.7 billion pada 2019, selaras peralihan kepada trend perdagangan dalam talian kesan pandemik COVID-19.

Malah, jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan peningkatan sehingga 240,000 tahun lalu berbanding 40,000 setahun sebelum ini, menjadikan keseluruhan 489,958 perniagaan dalam talian yang mendaftar sehingga 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melonjak ketara berbanding hanya 243,560 perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM sehingga 2019.

"Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sejak tahun lalu membuatkan peniaga dan pengguna beralih kepada aktiviti jual beli dalam talian. 

"Ia satu perkembangan yang sangat baik dalam pada kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan terhadap digitalisasi dalam sektor peruncitan selaras hasrat kementerian," katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil, di sini.  

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. 

Selain itu Rosol berkata, rekod juga menunjukkan transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2019 kepada RM600 juta tahun lalu. 

Mengulas mengenai kecenderungan baharu masyarakat pengguna itu, Rosol berkata, penawaran harga yang lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal merupakan antara faktor perniagaan dalam talian semakin mendapat tempat di hati pengguna. 

Katanya ramai peniaga terutama daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal juga semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka.

Sementara itu mengulas mengenai Program Malaysia Prihatin, Rosol berkata, ia adalah platform untuk menjelaskan dan memberi maklumat tepat kepada masyarakat mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19.

"Di Terengganu, saya bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim akan menjelajah ke lapan kawasan Parlimen di Terengganu untuk bertemu masyarakat dan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai usaha kerajaan menangani COVID-19 kepada masyarakat, " katanya.