• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Transformasi KQT Jadi Kolej Universiti

KUALA TERENGGANU, 4 April - Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) sedang melalui proses transformasi untuk dijadikan Kolej Universiti menjelang tahun 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan direalisasikan melalui peruntukkan sebanyak RM11 juta untuk pengoperasiannya termasuk kerja menaik taraf cawangan di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu serta membina kampus baru di Durian Mentangau, Dungun.

Menurut beliau, usaha secara bertahap selama empat tahun itu bagi memenuhi keperluan sektor pendidikan di negeri ini.

"Kita juga sedang memantapkan program diploma sedia ada di samping dua pengajian baharu yang akan diperkenalkan iaitu Diploma Pengajian Hadis dan Tafsir Al-Quran yang mendapat akreditasi sementara serta dalam proses untuk mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

“Serta kita juga menjalinkan kerjasama akademi dengan Universiti  Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memperkenalkan program baru Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pengkhususan syariah,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Presiden institusi tersebut berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada sidang media di Majlis Imaratul Ilmi kali ke-2, di Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini.

Dalam program berkenaan seramai 36 pelajar lepasan Diploma Al-Quran dan Bahasa Arab (DQTB) dan Diploma Tahfiz Al-Qur’an dan Qiraat (DTQQ) diraikan.

Dalam perkembangan yang sama katanya, kuliah al-Fur’qan yang diadakan selama ini akan diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk mempelajari al-Quran

“Kemaman dan Besut akan dijadikan sebagai projek perintis untuk kuliah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pengambilan pelajar bagi peringkat ijazah di institusi berkenaan akan dimulakan pada September.

“Di samping mencukupkan kadar bilangan doktor falsafah (PHD) untuk berkhidmat dengan KQT yang akan menempatkan pelajar di Pengkalan Gawi.

“Kerana kampus di padang Midin sudah penuh , insya-Allah pada bulan Jun segala proses untuk baik pulih dan  melengkapkan segala keperluan serta dijangka akan memuatkan pelajar seramai 500 orang,” ujarnya.


Tag: