• 21 Okt 2020 | 4 Rabiul Awal 1442

TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini, melancarkan TRDI News (Terengganu Darul Iman News) sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat berkenaan kerajaan negeri kepada masyarakat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap, melalui aplikasi ini kerajaan negeri dapat menyampaikan maklumat secara tersusun kepada rakyat sekali gus menjadi medium komunikasi dua hala antara rakyat dan negeri.

"Pandemik COVID-19 yang melanda telah mempercepatkan dunia bergerak ke arah Revolusi Industri Keempat (Revolusi 4.0). Penggunaan 'internet of thing' sebagai contohnya dapat kita lihat digunakan secara meluas saat kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke hari ini yang mana masyarakat di seluruh dunia telah menjadikan banyak urusan dijalankan secara atas talian. 

"Apatah lagi berkaitan maklumat berita dan penerangan, kita sebagai kerajaan bertanggungjawab menyampaikan kepada rakyat yang kini menjadikan platform internet sebagai rujukan utama mereka," katanya dalam ucapan perasmian Pelancaran Aplikasi Penerangan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, menjadi tuntutan kepada kerajaan dan agensi untuk mengambil inisiatif baharu agar tidak ketinggalan.

Portal yang dikenali sebagai Teganukita.net sebelum ini, kini menawarkan maklumat dalam pelbagai bentuk seperti berita, rencana, video, album gambar dalam satu aplikasi yang boleh diakses secara mudah menggunakan sistem android dan IOS.  

Mendepani cabaran dalam penyampaian maklumat yang sahih pada masa kini, TRDI News memberikan saluran mudah kepada rakyat negeri itu untuk mengetahui maklumat daripada kerajaan negeri secara sahih dan tepat dalam pelbagai medium dengan hanya satu paparan.

 

 

 

 


Tag: