• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Trek Basikal Siap Dibina, Dimanfaat Anjur Kejohanan Basikal

Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris

DUNGUN, 3 Oktober - Trek basikal yang baru siap dibina pada Mac lalu di Kampung Bukit Chatak Dua telah dimanfaatkan oleh Pemuda Bukit Chatak Dua, Dungun dengan menganjurkan kejohanan sukan berbasikal.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh Geng Basikal Dungun (GBD) bersama Komuniti Pemuda Bukit Chatak Dua itu telah disertai oleh 18 pasukan dari seluruh Terengganu khususnya daerah ini.

“Program ini turut mendapat kerjasama dari DACS Kawasan Dungun dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu.

“Antara tiga kategori yang dianjurkan pada kejohanan kali ini iaitu kategori amatur (Newbie), Bawah 16 tahun (U16) untuk bakat baru, serta kategori open (Pro),” ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Dungun berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas merasmikan gimik pelepasan kejohanan tersebut, di Trek Basikal MTB Bukit Chatak XC Trail, Kampung Bukit Chatak Dua, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.

“Alhamdulillah acara yang julung-julung kali diadakan selama sehari ini telah dimenangi oleh pasukan Dungun yang mengungguli tempat pertama bagi dua kategori ‘newbie’ dan ‘U16’. 

"Manakala kategori terbuka dimenangi oleh pasukan Kemaman. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya. 

"Terima kasih juga kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Amal Sura di atas kerjasama. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua, insya-Allah,” katanya.


Tag: