• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TSG Terima Tajaan RM9.3 Juta

KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Seiring sedekad penubuhan, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berevolusi dan dijenamakan sebagai Terengganu Polygon Cycling Team dengan tajaan berjumlah RM9.3 juta.

Polygon sebuah jenama pengeluar basikal milik PT Insera Sena yang beroperasi di Jawa Timur, Indonesia, muncul penaja utama TSG bersama Shimano (Singapore) PTE. LTD dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. serta penaja lain atas jenama pasukan.

Menambah prestij buat TSG, jumlah penajaan kali ini merupakan yang terbesar pernah diterima dalam sejarah penubuhan pasukan itu sejak 2011.

Petunjuk itu memberi gambaran positif nilai pelaburan yang mampu dijana Terengganu Polygon Cycling Team bagi musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, Polygon turut memberi penanda aras baharu bagi pasukan berbasikal profesional negeri Terengganu itu.

"Dari sudut penajaan memang terpikul di bahu TSG untuk membuktikan setiap yang dibelanjakan perlu ditunaikan dari segi pencapaian.

"Memandangkan tahun ini paling besar, ia menjadi suntikan semangat kepada TSG untuk memburu lebih lagi kejayaan dalam memastikan kedudukan UCI Asia Tour kekal bagi tahun 2022," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Terengganu Polygon Cycling Team dan meraikan rakan strategik penajaan di Primula Hotel, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut dihadiri Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Bagi permulaan tahun 2022, TSG memperkenalkan dua pelumba baharu iaitu Jamal Hibatullah dari Indonesia dan Anatolii Budiak (Ukraine) yang menggantikan Artem Ovechkin (Rusia).

TSG yang kini telah sedekad usia sejak penubuhan pada 2011 meletakkan sasaran musim ini untuk terus mengekalkan kejuaraan Jelajah Asia (UCI Asia Tour) buat kali kedua setelah bergelar juara pada musim lalu sekaligus memperbaiki tangga kedudukan dunia untuk
meletakkan pasukan dari pantai timur ini sebagai tiga pasukan terbaik benua Jelajah Dunia (UCI World Tour).

  


Tag: