• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tuan Ibrahim Mulakan Lawatan Kerja Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Wisma Darul Iman, di sini, jam 8.30 pagi tadi bagi memulakan lawatan kerja di Terengganu.

Ketibaan Tuan Ibrahim disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut satu kenyataan, pertemuan rasmi bagi kedua pemimpin ini di negeri Terengganu adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri pada 9 Mac lalu.

Lawatan kerja tersebut membabitkan sesi kunjungan hormat bersama pimpinan kerajaan negeri, mesyuarat khas, sesi taklimat jabatan dan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan juga lawatan ke tempat projek.

Tuan Ibrahim dijangka akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan benteng penahan ombak (Breakwater) bagi kawalan hakisan di Pantai Marang dan Pantai Teluk Lipat, Dungun di sini.

Turut serta dalam lawatan rasmi berkenaan, Ketua Setiausaha KASA, Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Politik Menteri, Dr Mohd Zuhdi Marzuki selaku pengiring. Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja di negeri Kelantan bermula kelmarin.

"Pada 4 Julai, delegasi KASA melawat tapak Sambutan Hari Alam Sekitar di Kubang Kerian, Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) fasa 1 dan lawatan projek PLSB Sungai Golok,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan.


Tag: