• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tubuh Petugas Khas Bawa OKU, Warga Emas Suntik Vaksin

KUALA NERUS, 30 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telaga Daing Paya, Seberang Takir di sini mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Cakna Imunisasi bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas mengambil suntikan vaksin.

Setiausaha JPKK Telaga Daing Paya, Hamidi Salleh berkata, skuad tersebut telah memulakan operasi kelmarin dengan membawa beberapa OKU ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak.

“Ini adalah permulaan bagi pihak JPKK sebagai menyahut seruan kerajaan supaya semua rakyat divaksinasi dan negara dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Bertitik tolak daripada seruan itu, pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) menggerakkan usaha ini kerana di kawasan kampung terdapat OKU dan warga emas yang ingin mendapatkan suntikan tetapi tiada pengangkutan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Gong Badak semalam.

Menurut beliau, pasukan itu bukan hanya terlibat dalam membawa individu ke PPV tetapi turut berperanan untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang kepentingan vaksin.

“Mereka akan masuk ke kampung-kampung untuk mengajak masyarakat mangambil vaksin, kita yakin usaha ini mampu mempercepatkan negara kita mencapai imuniti kelompok.

“Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fahdil Wahab, semalam beliau sendiri yang mebawa OKU terbabit,” jelasnya.

Sementara itu, OKU yang menerima perkhidmatan itu terharu apabila hajatnya untuk mendapatkan vaksin tercapai.

“Sudah lama menunggu, tetapi disebabkan tiada pengangkutan, harapan saya sentiasa tergendala.

“Bantuan yang diberikan JPKK ini sangat bermakna, memudahkan urusan saya dan saya cukup-cukup lega selepas selesai mengambil suntikan vaksin COVID-19,” katanya.


Tag: