• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Tubuh Segera RCI Tumpaskan Sindiket MyKad 'Haram'

Ahmad Amzad


Oleh: Ammar Rozlan

KUALA TERENGGANU, 18 September - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah dalang utama di sebalik sindiket penjualan kad pengenalan palsu (Mykad).

"Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia secara 'fraud' telah ditahan.

"Penubuhan RCI sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan sindiket penjualan MyKad adalah suatu tragedi kepada negara serta melibatkan kepentingan awam," katanya ketika dihubungi pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan kewujudan sindiket berkenaan dan  kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa ia belum ditumpaskan sepenuhnya.

Amzad turut menjelaskan, pemberian MyKad kepada warganegara asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, sejak sekian lama, media melaporkan warga asing ini terlibat dengan pelbagai jenayah antaranya pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat.

"Banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah jumlah sebenar yang telah dijual dan adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang?

"Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terlibat?" soalnya.

Beliau juga merujuk peristiwa yang berlaku pada tahun 2008 yang mana terdapat cubaan seorang warga asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera.

Oleh itu, katanya, situasi tersebut dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara.

"Paling mengejutkan adalah apabila Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Ariffin dan lima lagi tertuduh yang kesemuanya rakyat tempatan telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini.

"Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak," tegasnya.

Menurut beliau lagi, tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas, dikhuatiri penangkapan pegawai tinggi JPN itu hanyalah untuk menutup pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak berhak.

Amzad juga berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil serius dalam menangani perkara berkenaan dengan segera.


Tag: