• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tujuh Prinsip Pacu Kemajuan Terengganu 2030

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Terengganu sedang memperkasakan pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi mewujudkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, PITAS dirangka berdasarkan tujuh prinsip utama yang merangkumi aspek sosial dan ekonomi.

"Prinsip tersebut adalah berpandukan kepada perancangan pembangunan Terengganu yang lebih holistik dan komprehensif dalam membawa dasar negeri yang berteraskan prinsip-prinsip Islam.

"Mana yang bercanggah dengan Islam, kita akan tolak, mana yang tidak bercanggah, kita akan teruskan, mana yang belum buat, kita akan buat pembaharuan menurut apa yang dikehendaki Islam," katanya.

Tambah Dr. Alias, melalui PITAS juga, kerajaan negeri akan memanfaatkan keperluan dan potensi sumber keberhasilan ekonomi sedia ada dalam memacu ekonomi negeri yang mampan.

"Kita akan melihat sumber hasil yang kita ada selain petroleum, kita mempunyai sumber air, khazanah pelancongan yang begitu banyak dan sumber mineral lain seperti silika.

"Semua sumber hasil ini boleh diterokai lagi untuk dijadikan sebagai sumber baharu di Terengganu.

"Inilah potensi yang kita ada bagi mewujudkan sumber hasil kepada negeri ini," jelasnya.

Jelas Dr. Alias, PITAS juga akan memperkukuhkan keupayaan pembangunan insan dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negeri.

"Kita mempunyai banyak sekolah agama swasta dan kerajaan, kita mempunyai rakyat yang mempunyai asas agama yang kuat, ulama kita juga ramai, perkara ini perlu dikembangkan supaya perkara ini dapat menjadi aset kita agar penghayatan Islam dihidupkan dan dirasai oleh seluruh rakyat.

"Sistem penyampaian yang responsif dan pantas juga merupakan salah satu prinsip PITAS bagi menuju kerajaan digital yang memenuhi kehendak rakyat.

"Semua orang sudah ke arah digital, kita tidak dapat lari daripada kemajuan tersebut, kita tidak boleh duduk dalam kepompong yang lama," ujarnya ketika bersiaran secara langsung dalam Bicara PITAS 2030, di TV Darul Iman (TVDI).

Selain itu, fasiliti budaya dan warisan negeri yang dilihat berpotensi dimajukan sehingga ke peringkat antarabangsa juga akan diperkaya melalui PITAS ini.

"Kita mempunyai pelbagai budaya yang unik dan khazanah warisan yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan negeri selain pantai, pulau dan hutan seperti tempat bersejarah.

"PITAS juga akan menyelaras pembangunan dan insentif daripada Kerajaan Persekutuan supaya selari dengan amalan budaya politik matang dan sejahtera.

"Melalui PITAS juga, kita meletakkan sasaran 2030 seiring dengan matlamat pembangunan lestari yang diadaptasi mengikut prinsip-prinsip Islam.

"Justeru itu, kita mengharapkan PITAS akan menjadikan Terengganu sebagai model pembangunan Islam kepada negeri-negeri lain," ujarnya.

 


Tag: