• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tukang Gunting Rambut Diraikan

KEMAMAN, 3 Februari - Seramai hampir 150 orang yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai diraikan apabila menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, mereka juga antara golongan yang terjejas pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.

"Saya memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan anak muda yang berusia sekitar 22 hingga 28 tahun.

"Ada di antara mereka yang baru berkahwin dan membina kehidupan yang baru. Apabila berlaku PKP, bukan sahaja pendapatan harian terjejas, bahkan mereka terpaksa menyelesaikan bayaran sewa kedai, bil api, bil air dan sebagainya.

"Oleh yang demikian, saya sebagai orang yang diberikan tanggungjawab di DUN Chukai ini sudah tentu berasa simpati dengan nasib mereka.

"Sebab itu hari ini, kita sampaikan sumbangan ini agar sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka. Insya-Allah, semoga keadaan ini akan pulih tidak lama lagi agar kita semua dapat menjalani semula kehidupan seperti sediakala," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis.

Program yang dianjurkan itu berlangsung dalam keadaan yang baik apabila mereka  yang layak menerima sumbangan hanya mengambilnya secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.