KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Program Tunas Scholar dijangka menyediakan sebanyak 100 hingga 200 pekerja terlatih dalam satu hingga tiga tahun di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan kerjasama antara Majlis Agaam Islam dan Adat Melayu Terengganu(MAIDAM) melalui pengurusan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan Terengganu Inc menggunakan wakalah agihan zakat dan dana bukan zakat.
Katanya, pelaksanaan program itu mampu meningkatkan 'value chain' pendidikan dan kelestarian sektor kesihatan di Malaysia khususnya dan Terengganu secara amnya.
"Program tersebut menawarkan inisiatif pembangunan insan melalui diploma kejururawatan dan diploma fisioterapi sebagai platform bagi mengatasi keperluan kekurangan petugas kesihatan di pasaran.
"Ia juga sebagai manifestasi peningkatan produktiviti negeri bagi mentransformasi pendekatan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam negeri,"ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan YPM dan pelancaran Biasiswa Tunas Scholar di Permai Hotel di sini hari ini.
Seramai 12 pelajar asnaf fakir dan miskin terpilih yang mengikuti pengajian selama tiga tahun di Kolej Universiti Bestari (UCB) akan menerima biasiswa Tunas Scholar sebanyak RM65 ribu setahun.
Tambahnya lagi, program TUNAS Scholar juga dilihat dapat memberi nilai tambah kepada pelajar apabila tamat pengajian di UCB, mereka akan ditawarkan penempatan pekerjaan di mana-mana hospital Kumpulan Medic Iman(KMI Healthcare) tertakluk kepada prestasi pengajian mereka selama tiga tahun.