Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
'Turun Padang' Bina Imej Prihatin PDRM
DUNGUN, 12 Mac – Polis Daerah Dungun menganjurkan Majlis Iftar Ramadan dalam usaha mengeratkan hubungan antara pihak keselamatan itu dan komuniti di daerah Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Maizura Abdul Kadir berkata, selain itu majlis iftar ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai dan anggota polis serta memperkukuhkan semangat kerjasama antara mereka.
"Majlis ini mencerminkan kepedulian sosial pihak polis terhadap komuniti, terutama pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan tema "Hormati dan patuhi undang-undang agar kesejahteraan tercipta dan ketenteraman terpelihara"."
"Harapan saya, program ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara PDRM dan masyarakat setempat. Inisiatif seperti ini membuktikan komitmen PDRM untuk mendekati komuniti sambil menjalankan tanggungjawab sosial, seiring dengan nilai-nilai positif yang ingin disampaikan. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan untuk manfaat bersama," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Facebook rasmi Polis Daerah Dungun, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Supt. Maizura Abdul Kadir, Ketua Polis Daerah Dungun, bersama DSP Jumaidy Bah Chong Weh, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun serta petugas di lapangan.
Dalam majlis yang diadakan di Menara Jam Daerah Dungun, seramai 10 pegawai kanan polis dan 35 pegawai rendah polis turut mengambil bahagian dalam majlis ini.
"Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mempertingkatkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui interaksi langsung," katanya.