• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Turun Padang Dengar Luahan Penjaja

KUALA TERENGGANU, 19 November- “Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka. Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kesukaran penjaja makanan mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

"Memandangkan bilangan pengunjung ke Pantai Batu Burok berkurangan mendadak, ianya sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan peniaga disini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penjaja makanan di sekitar Pantai Batu Burok.

Katanya, mewakili kerajaan negeri beliau turun ke bawah bagi mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah peniaga.

"Selaku Exco Usahawan Negeri Terengganu, saya akan cuba membantu semampu mungkin untuk menjadi pemudah cara kepada peniaga kecil. Banyak cadangan yang diutarakan oleh peniaga-peniaga yang disantuni bertanyakan berkenaan apa yang kerajaan negeri boleh bantu. Sempat saya jelaskan beberapa perkara mengenai bantuan kerajaan negeri yang sedia ada.

"Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan gembira apabila dapat meluahkan pendapat dan cadangan kepada pihak kerajaan negeri." katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan para peniaga yang berjuang mencari nafkah demi keluarga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan rahmat daripada Allah SWT.

 


Tag: