lightning-solid
Berita :
TVET Perkasa Pelajar Pondok, Lahir Generasi Berilmu Dan Berkemahiran
TVET Perkasa Pelajar Pondok, Lahir Generasi Berilmu Dan Berkemahiran
Rohayati Ripin
21 Jul 26
5

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada pelajar sekolah pondok dan madrasah sebagai usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu agama, malah memiliki kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan semasa.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, pendekatan itu merupakan langkah strategik bagi melengkapkan pelajar dengan nilai tambah tanpa mengubah identiti pendidikan pondok yang telah lama melahirkan generasi berakhlak dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

"Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa meletakkan agenda pembangunan modal insan sebagai keutamaan. Kekuatan sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui kualiti modal insan yang berjaya dibentuk.

"Kita mahu pelajar sekolah pondok turut didedahkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan agar mereka mempunyai lebih banyak pilihan sama ada untuk memasuki alam pekerjaan, menjadi usahawan atau menyambung pengajian," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas TVET Pelajar Sekolah Pondok Tahun 2026, di Dewan Teater, bangunan Ibnu Sina, Terengganu Skills, baru-baru ini.

Menurutnya, seramai 140 pelajar daripada lima institusi pendidikan pondok dan madrasah terpilih menyertai kursus tersebut, iaitu Maahad Darul Quran, Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Madrasah Seberang Tuan Chik, Maahad Asy Syatibi dan Madrasah Tahfiz Al Ayyubi.

Katanya, para peserta didedahkan dengan bidang kemahiran seperti kimpalan, jahitan, elektrik dan servis kenderaan yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Tambah Mohd Nor, pendedahan awal itu bukan sahaja membantu pelajar mengenal pasti minat dan bakat masing-masing, malah membuka ruang kepada mereka meneroka pelbagai laluan kejayaan selepas menamatkan pengajian di institusi pondok dan madrasah.

"Gabungan ilmu agama yang kukuh dengan kemahiran teknikal yang relevan akan melahirkan generasi yang berdaya saing, berdikari dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah serta negeri," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Terengganu yang menyelaras pembiayaan program berkenaan dan Terengganu Skills Development Centre (TESDEC), pihak pengurusan sekolah pondok dan madrasah serta tenaga pengajar yang menjayakan pelaksanaan kursus tersebut.


Tag :

Artikel Berkaitan