• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

UC TATI Terajui Pelaksanaan Data Raya Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk meneraju pelaksanaan Data Raya (Big Data) bagi Negeri Terengganu sekaligus menambahbaik penyampaian kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, menerusi penubuhan Big Data Institute Terengganu (BDIT) bertempat di kampus universiti milik kerajaan negeri itu, ia menjadi tempat penyelidikan komputeran yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menerokai cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Selain itu, objektif penubuhan BDIT ini juga sebagai pusat kecemerlangan akademik iaitu kemudahan dan kepakaran kakitangan UC TATI akan digunakan untuk tujuan pengajaran
dan pembelajaran dalam program pengkomputeran terutamanya bagi pelajar institusi berkenaan.

“Institut ini juga akan menawarkan perkhidmatan analisis data kepada pihak kerajaan dan swasta bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Big Data Antara UC TATI Dan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Mohamed sementara UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Pendaftar UC TATI, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Zuwislan Awang.

Ariffin berkata, kerjasama yang dijalinkan antara BPTM dan UC TATI itu sangat bertepatan dalam memenuhi kehendak kerajaan negeri bagi mendapatkan data yang berintegriti, bersih dan memudahkan pentadbiran kerajaan negeri membuat perancangan dan keputusan masa depan.

Katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukan kerajaan negeri kepada UC TATI untuk pelaksanaan Data Raya ini.

Menurut Ariffin, Data Raya telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk kerajaan, perbankan, komunikasi, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain.

“Antara kelebihannya termasuklah penjimatan kos melalui kaedah yang lebih efektif bagi menjalankan aktiviti seharian, penjimatan masa melalui sumber data baharu dan menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih bermaklumat, pembangunan produk dan memahami keadaan semasa melalui analisa sentimen pengguna dan pasaran,” ujarnya.

Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan Big Data Analytics ini melibatkan tenaga kerja kakitangan UC TATI sendiri yang berkelayakan PhD termasuk seorang kakitangan yang menyambung pengajian PhD di Mie University, Jepun. 

“Kakitangan tersebut akan menjalani latihan tertentu supaya memenuhi keperluan Analytics. 

“UC TATI telahpun membuat pembangunan segera Big Data Product pada Ogos lalu dan dijangka berupaya memberi perkhidmatan Big Data Analytics sepenuhnya pada akhir tahun pertama penubuhannya,” ujar beliau.