• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ukom Selaraskan Tugas Liputan Lawatan PM

Sebahagian petugas media hadir mendengar taklimat mengenai lawatan kerja Perdana Menteri ke Terengganu. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail


Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) menganjurkan perjumpaan dan taklimat media sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu pada 15 dan 16 April ini, di Chicken Cottage, Kuala Terengganu malam tadi.

Program bertujuan melancarkan tugas pengamal media arus perdana dan juga alternatif membuat liputan sepanjang kunjungan pemimpin utama negara itu.

Pengarahnya, Dato’ Muda Mamat berkata, Ukom yang dipertanggungjawab bagi menyelaras tugas publisiti dan media sempena kunjungan Perdana Menteri, mengambil inisiatif mengadakan pertemuan berkenaan bagi memastikan semua hal berbangkit dan isu-isu berkaitan liputan dapat diselesaikan segera.

“Kita mengambil langkah proaktif bagi mengumpul rakan media yang akan bertugas sepanjang dua hari sempena lawatan YAB PM nanti, supaya mereka mendapat informasi yang tepat dan berkesan, selain boleh menyuarakan pandangan dan sebarang persoalan berkaitan tugas-tugas penyiaran dan kewartawanan demi memastikan kelancaran tugas masing-masing.


“Bagi melicinkan lagi perjalanan kita, setiap daerah yang menjadi pusat lawatan PM turut diwakili oleh `orang kuat’ masing-masing yang layak dan sedia maklum secara terperinci setiap acara yang akan dilaksanakan serta boleh memberi respon segera bagi setiap persoalan media melibatkan keperluan dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian di majlis program dan taklimat itu, malam tadi. Turut hadir,  Pegawai Daerah Besut, W Ismail Sahaimi W Omar, Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Ruslan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Mohd Razif Abd Majid.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Zulwislan Awang dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Mohd Fadli Ngah.


Seramai 80 pengamal media arus perdana dan juga alternatif termasuk ketua biro media hadir di majlis yang berlangsung dua jam itu.

Tag: