• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Umbro Taja Jersi TFC RM2 Juta

KUALA NERUS, 1 Januari - Terengganu Football Club (TFC) mengorak langkah menggunakan jersi berjenama antarabangsa, Umbro bagi musim 2021-2022.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, penajaan tersebut adalah selama dua musim dengan nilai tajaan kira-kira RM2 juta.

"Sebenarnya kita melalui proses tender dan membuka peluang kepada semua jenama untuk terlibat dan jawatankuasa teknikal telah memilih berdasarkan proses tersebut.

"Lagipun, peminat telah biasa dengan jenama tempatan dan mempunyai keinginan lebih tinggi. Maka, jenama Umbro ini dipilih untuk memenuhi keinginan peminat memakai jenama antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian penajaan di pejabat TFC, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengurus Penjenamaan Umbro, Anwar Mamtaj berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai.

"Bagi pihak Umbro, kami daripada Al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd sudah ada pengalaman bersama TFC selama beberapa musim.

 "TFC mempunyai penyokong yang sangat bagus, jadi daripada segi komersial ia amat memberangsangkan bagi kita.

"Ini peluang kita untuk membawa jenama lebih baik kepada TFC dengan Umbro memang terkenal dalam bola sepak dan pernah dipakai oleh pasukan besar, eleman ini kami bawa," katanya.

Lebih menarik, Anwar menyatakan, TFC menjadi pasukan pertama ditaja Umbro secara sponsor penuh dengan 'total package'.

"Musim ini kita akan bawakan 'template international', bukan template yang kita buat sendiri tetapi semua daripada Umbro sendiri sebagaimana pasukan-pasukan di Liga Perdana Inggeris," katanya.

Umbro akan memasarkan tiga kit meliputi jersi home, jersi away dan jersi ketiga yang akan mula dijual selepas pelancaran jersi pasukan TFC hujung bulan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: