• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UMNO Terengganu Diiktiraf, Perintis Adakan Pertandingan PDM


Zahid meletakkan tangan sebagai gimik pelancaran sempena Perasmian Berkelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM)  di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim



UMNO Pusat mengiktiraf usaha Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mengadakan Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai persiapan menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mahu ianya dicontohi negeri lain.

“Saya ucapkan tahniah kepada rakan-rakan kepimpinan parti dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri  Ahmad Razif (Abd Rahman) dan tiada di negeri lain melaksanakannya, hanya Terengganu sahaja.

“Ini satu contoh yang baik dan InsyaAllah saya akan beritahu rakan negeri yang lain supaya ikut Terengganu, melakukan pertandingan sepertimana yang dilakukan oleh Terengganu,”katanya.



Timbalan Perdana Menteri,  Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika  berucap sempena Perasmian Kelompok Persidangan Agung UMNO Cawangan dan  Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM)  di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari in di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong serta barisan kepimpinan politik negeri.

Beliau kemudiannya  bersetuju  supaya menggandakan hadiah kemenangan sebagai mengiktiraf komitmen dan penglibatan semua penggerak jentera parti di setiap PDM yang berjaya dalam pertandingan itu.

Selaras dengan perasmian peringkat negeri itu, Ahmad Zahid yang juga Pemangku Timbalan Presiden UMNO mahu supaya semua ahli parti peringkat akar umbi yang akan kembali ke cawangan masing-masing supaya memulakan mesyuarat cawangan, seterusnya menggerakkan jentera di peringkat PDM masing-masing ke arah mencapai kejayaan dalam PRU14.



Dalam pertandingan itu, PDM Pulau Bahagia Hulu Terengganu muncul johan dengan membawa pulang RM14,000 berserta plak penghargaan, diikuti tempat kedua PDM Pelong, Setiu yang memperolehi RM10,000 berserta plak penghargaan.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh PDM Seberang Takir Pantai (Kuala Nerus) dengan hadiah wang tunai (RM6,000), manakala tempat keempat serta kelima pula masing-masing, PDM Wakaf Tapai, Marang  (RM4,000) dan Beris Meraga, Kemaman (RM3,000).



Tag: