• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim

KUALA TERENGGANU, 19 November- Universi Malaysia Terengganu (UMT) dan Penang Port Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan kecekapan bidang maritim dan pelabuhan.

Kolaborasi itu dilakukan hasil siri kunjungan daripada kedua-dua pihak bagi melihat potensi dan peluang serta fasiliti yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama yang dimeterai itu merupakan suatu pengiktirafan daripada pemain industri yang meletakkan kepercayaan kepada UMT selaku sebuah universiti peneraju dalam bidang marin dan sumber akuatik.

“Ini adalah komitmen UMT untuk membantu pihak industri dan negara amnya dalam memperkasakan pembangunan sektor industri maritim khususnya dalam penyediaan dan pembangunan sumber manusia yang tersedia dengan kemahiran teknikal yang tinggi yang diperlukan oleh sektor maritim negara. 

“Sesuai dengan status universiti berfokus ilmu kelautan dan sumber akuatik, UMT telah dinamakan sebagai universiti peneraju bagi Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi Kluster Maritim dan merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan graduan institusi pengajian tinggi tersedia dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam sektor maritim negara," ujarnya ketika berucap di majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangusng di kampus UMT, di sini.

Majlis menandatangani perjanjian MoU itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Penang Port Sdn Bhd, Mohamed Shaffi Khatri Abdullah bagi mewakili agensi masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian.

Katanya, selain mengutamakan akademik pelajar, UMT turut menggalas tanggungjawab dalam membantu memperkasakan pertumbuhan sektor maritim negara.

“Kita mempunyai kepakaran dalam bidang maritim seperti pengurusan maritim, pengurusan logistik, perundangan laut, bidang teknikal maritim serta senibina kapal.

“Sebagai sokongan kepada pembangunan industri logistik dan maritim negara, UMT juga telah berkerjasama dengan The Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILT Malaysia) untuk menubuhkan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) di UMT," jelasnya.

Menurutnya, penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri (IcoE) Kluster Maritim di universiti itu bagi mendokong lima teras berkaitan industri maritim seperti pemerkasaan modal insan, pangkalan data maritim, jaringan industri, inisiatif perkongsian teknologi dan program endowmen.

Mengulas lanjut katanya, kewujudan MaLTraC-CILT yang berfungsi sebagai pusat latihan profesional dan bertauliah di kampus itu secara tidak langsung membuka peluang kepada UMT untuk menonjolkan kepakaran yang boleh menyumbang kepada bidang maritim melalui Program Data Kargo Nasional dan juga penawaran perkhidmatan untuk industri logistik dan pengangkutan negara melalui penyelidikan, latihan dan forum perbincangan di kalangan pakar akademik dan industri serta badan profesional dalam ekosistem yang kondusif.