• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SIDANG DUN : Ungkit Isu Lapuk Rosakkan Muafakat

KUALA TERENGGANU, 17 November – Mengungkit isu lapuk dan terpencil yang tidak menggambarkan sikap sebenarnya satu-satu pihak hanya akan merosakkan hubungan terjalin sedia ada. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan isu seperti solat dua imam yang diungkit ADUN Hulu Besut menyebabkan kita dihimpit masalah dalam membuka lembaran sejarah baru atau perpaduan lebih meyakinkan.

“Sebenarnya pintu perpaduan melayu tidak pernah tertutup. Saya mendapat pendidikan di Maahad Darul Quran, Rusila dalam tempoh 7 tahun. Mengikuti pengajian dengan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hampir setiap minggu melalui kuliah pagi Jumaat. 

“Saya sering kali mengunjungi masjid-masjid kerajaan walaupun waktu itu bukan PAS yang memerintah negeri. Saya bermakmumkan imam yang bertugas. 

“Kerana sepanjang kami menuntut ilmu tidak pula diberikan ajaran seperti yang didakwa Hulu Besut.  Malah kami menjadi makmum di belakang Imam di masjid-masjid kerajaan sebelum Muafakat Nasional dilangsungkan lagi. Sewaktu kami dahulu di kerusi pembangkang,” jelasnya menjawab tuduhan Nawi Mohamad.

Menurut beliau lagi, tidak cukup dengan itu, Almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib bersolat Jumaat di masjid-masjid kerajaan di kawasannya sewaktu bergelar wakil rakyat Manir pada waktu itu.

“Ini menunjukkan, ulama PAS tidak pula melakukan dua imam dan seumpamanya. Walaupun begitu, kita tidak menafikan ada segelintir yang memainkan sentimen ini. Sebahagian mereka ada yang telah pun meninggalkan PAS, ini sejarah,” jelasnya menafikan solat dua imam adalah ajaran PAS.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua pihak tidak lagi membangkitkan isu yang tidak jelas intipatinya kerana boleh menjejaskan muafakat.

“Sangat wajar untuk kita melihat masa depan Melayu dan Islam sebagai keutamaan dalam negara kita. Bukan sahaja melihat dalam neraca negeri Terengganu, malah perlu dilihat secara lebih holistik di peringkat nasional,” ujar beliau.


Tag: