• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Uniknya Pasar "Gilirang" Di Bandar Kuala Berang




Pasar "Gilirang" yang wujud lebih seratus tahun lalu, di Bandar Kuala Berang setiap hari Rabu dan Sabtu bukan sahaja popular di kalangan penduduk tempatan tetapi berupaya menarik pengunjung dari luar kerana keunikannya yang tersendiri.

Satu keunikannya adalah sebahagian peniaganya terdiri daripada warga emas yang duduk bersila di atas tikar atau kain batik lusuh dengan menjual sayur-sayuran serta buah-buahan.

Walaupun situasi berkenaan dilihat kurang selesa tetapi itu bukan persoalan, kerana mereka melakukan kegiatan itu demi kepuasan diri sendiri kerana sudah menjadi kelaziman dan rutin harian sejak dahulu lagi, selain menambah pendapatan keluarga masing-masing.

Rata-rata peniaga warga emas ini mengakui selain mencari rezeki mereka berniaga hanya untuk mengisi masa lapang kerana jika tidak berniaga pada setiap Rabu dan Sabtu, hidup mereka berasa tidak lengkap.

Ramlah Omar,64, dari Kampung Gaung berkata, dia sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang itu sejak hampir 40 tahun lalu, bermula di tepi sungai sehinggalah ke tapak sekarang.

Katanya,berniaga merupakan rutin kehidupan yang kini bagaikan nadi serta  sebati dengan dirinya.

"Meniaga sambil duduk ini untuk umur mak cik memanglah tidak selesa ,penat dan kadang-kadang sampai sakit lutut duduk bersila dari pagi sampai tengahari.

"Tapi ini lah kepuasan mak cik daripada duduk bersahaja di rumah, lebih baik duduk berniaga di sini mencari rezeki.

“Malah, jika tidak datang berniaga pada Rabu dan Sabtu, kehidupan hari itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.



Bagi  Wan Esah Ton Sulaiman,62,dari Kampung Telaga yang berniaga sejak dua tahun lalu, pula merasa bosan sekiranya tinggal di rumah tanpa berbuat sesuatu yang bermanfaat.

"Jualan mak cik ini tidaklah seberapa pendapatannya, tetapi bolehlah buat tambahan belanja dapur walaupun anak-anak ada yang membantu.

"Biasa mak cik jual sayur-sayuran dari jiran-jiran dan ada juga yang mak cik beli secara borong.Memanglah tidak dapat banyak sebab modal pun sudah tinggi tetapi yang penting kepuasan yang makcik boleh apabila datang ke pasar giliran ini,"katanya lagi.

Menurut Wan Esah, selagi diizinkan-Nya,selagi kudrat ada dia akan terus berniaga mencari rezeki yang halal di pasar yang sering menjadi tumpuan ramai itu.

Tag: