• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

UniSZA Tubuh Pasukan Covid Buster Tangani COVID-19

KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menubuhkan satu pasukan khas yang dikenali sebagai Pasukan Covid Buster UniSZA dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, inisiatif itu dilaksanakan Jawatankuasa Task Force Covid-19 UniSZA bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan  dan kesediaan universiti berkenaan dalam menangani Pandemik COVID-19 dengan pantas dan berkesan.

Katanya, pasukan itu telah ditubuhkan sejak Julai tahun lalu itu selepas terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan.

"Bermula daripada gelombang pertama hingga gelombang ketiga hari ini, terdapat beberapa kes positif dalam kalangan kakitangan UniSZA.

"Apabila ada kes, kita akan tutup kawasan atau pejabat untuk proses sanitasi yang mana pada peringkat awal, kita mendapatkan latihan daripada pihak bomba termasuk segi bancuhan”, katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, seramai 20 kakitangan UniSZA telah menyertai pasukan itu yang diketuai oleh Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dengan kerjasama Jawatankuasa Task-Force Covid-19 UniSZA, Pusat Pengurusan Harta Benda (PPHB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pasukan ini akan turut bekerjasama membantu komuniti luar dengan memberi tunjuk ajar dalam melakukan sanitasi selain menyediakan bekalan cecair disinfeksi kepada mereka.

“Kita juga akan melakukan sanitasi bukan sahaja di tiga buah kampus UniSZA, tetapi juga di kawasan tumpuan ramai seperti masjid, balai raya dan sekolah di sekitar kawasan Kuala Nerus”, katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Task Force Covid-19 UniSZA.

Menurutnya lagi, bahan yang digunakan untuk disinfeksi juga adalah hasil kepakaran dari ahli Fakulti Farmasi dan CLMC UniSZA yang menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri. 


Tag: