• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Unit Penyelaras Masjid DUN Bakal Ditubuh

Ustaz Ridzuan (tengah) mendoakan agar masjid menjalankan fungsi sebenar dalam masyarakat.


Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Kerajaan negeri bakal menubuhkan Unit Penyelaras Masjid di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Unit ini bakal terdiri dari 18 orang ahli jawatankuasa bagi memastikan semua masjid di negeri ini bergerak seiring sekali gus program masjid bersama masyarakat diatur dengan jayanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, jawatankuasa berkenaan dipilih dari kalangan pengerusi-pengerusi masjid di seluruh negeri Terengganu.

“Jawatankuasa itu bakal ditubuhkan bertujuan supaya mereka dapat berbincang dan bertukar tukar pandangan agar tiada masjid yang terlalu aktif dan tiada yang terlalu terkebelakang, semuanya bergerak seiring dalam memastikan peranan sebenar masjid dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Ustaz Ridzuan Hashim.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengurusan Berkualiti Ahli Jawatankuasa Masjid DUN Buluh Gading di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini kelmarin.

Turut hadir Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah, Penyelia i-MiTS Kawasan Kuala Nerus, Jusoh Ngah dan ahli jawatankuasa 18 buah masjid dalam DUN Buluh Gading.

Kursus itu dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dengan kerjasama JHEAT.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading itu seterusnya berkata, bagi menjalinkan hubungan antara masjid dan masyarakat setempat, kerajaan negeri merancang mewujudkan Unit Rakan Masjid.

Beliau berkata, syarat penyertaannya terbuka kepada orang ramai dan sesiapa sahaja boleh berdaftar dengan pihak masjid di kampung masing-masing bagi mengikuti perkembangan dan menyertai aktiviti masjid dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk melihat masyarakat berjinak dengan masjid, terutamanya orang muda walaupun tidak datang masjid pada peringkat awalnya, namun boleh menyertai program yang dianjurkan atas nama rakan masjid,” tambahnya.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri berhasrat menjadikan masjid sebagai suatu produk yang diminati oleh masyarakat agar semua ahli kariah dapat manfaat dari aktiviti masjid yang diatur.

“Kita (kerajaan) tidak mahu masyarakat melihat masjid sebagai satu institusi berasingan dari masyarakat, sebaliknya kerajaan berhasrat supaya masjid berperanan dalam erti kata sebenarnya termasuk menyediakan pelbagai bentuk manfaat kepada masyarakat dari sudut sosial dan kebajikan, bukan sahaja tempat untuk bersolat secara berjemaah lima waktu sehari semalam.

“Oleh itu tidak salah pihak masjid menganjurkan pertandingan bola sepak atas nama rakan masjid agar masjid itu sentiasa berada di hati dan pemikiran masyarakat,” tambah beliau lagi.

Justeru itu, beliau mengucapkan tahniah kepada mana-mana jawatankuasa masjid yang berjaya mengadakan kelas fardhu ain, kursus solat dan kursus al-Quran sempena cuti sekolah baru-baru ini.


Tag: