• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Usaha Gigih JPV ‘Selamatkan’ Kerbau Pak Khamis Dipuji

KUALA TERENGGANU, 18 September – Usaha gigih kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam menyelamatkan baki kerbau Khamis Jusoh, 64, mendapat pujian Exco kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ternakan Khamis yang diserang wabak Hawar Berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) telah mendapat diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan JPV termasuk dengan melaksanakan kerja-kerja menyelamat terhadap binatang yang tinggal.

"Hari menjelang senja. Dalam hujan renyai-renyai, kakitangan JPV terus bertungkus-lumus bekerja untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup. 

"Sebahagian besarnya telah dijangkiti Hawar Berdarah. Pada tahap ini, pemberian vaksin tiada fungsi lagi. Vaksin berkesan sebagai pencegahan sebelum dijangkiti.

"Jasa dan bakti mereka layak dihargai walau di medan ini pelbagai nada kata-kata terpaksa mereka terima dan hadapi tapi mereka terus tabah menyumbang bakti. Terima kasih semua," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu katanya, JPV Terengganu turut memaklumkan bahawa permohonan untuk program pemvaksinan telah meningkat mendadak. 

"Harap bersabar menunggu giliran kerana kakitangan kami sedang bekerja keras lebih masa. Ia tak semudah A, B, C kerana staf kami bukan hanya berurusan dengan haiwan ternakan, tetapi juga perlu berurusan dengan tuan punya haiwan. 

"Ternakan pula berada bertaburan di serata lokasi. Sebahagiannya tidak ditambat dan tiada kandang. Perlu kerja tambahan juga untuk tangkap.

"Sebelum ini ada tawaran untuk program penvaksinan yang dibuat hebahan melalui surat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), letak notis di kedai-kedai, khutbah jumaat, staf kita turun ‘survey’ tanya penternak dan pelbagai kaedah lagi," tambah beliau.

‘’ Wabak Hawar Berdarah yang berlaku sekarang membuka mata semua pihak. Saya dah arahkan JPV Terengganu untuk beri khidmat yang terbaik kepada rakyat. Kerjasama penternak juga amat dimohon kerana staf kami tak mampu nak kejar dan tangkap setiap ekor lembu untuk dicucuk vaksin. Kita jaga kita.’’