Usahasama Terengganu Inc- Xiangxi Furong Town Bawa Budaya Terengganu ke Persada Dunia

BESUT, 23 Februari - Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd tampil menjalinkan persefahaman bersama Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd. dalam usaha membantu mempromosikan Terengganu di peringkat antarabangsa.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun berkata, menerusi memorandum persefahaman (MOU) yang terjalin dapat merancakkan lagi industri pelancongan di negeri tersebut.

"Kita hendak menggalakkan MOU sebegini, apabila kita tandatangan persefahaman dengan badan pelancongan tempatan, kita akan dapat mempromosikan Terengganu kepada mereka dan ini akan dapat merancakkan lagi industri pelancongan kita.

"Saya rasa kalau kita bawa orang-orang yang berpengaruh dan mempunyai hubungan seperti Marriot, (impaknya) akan boleh ke bandar Kuala Terengganu juga. Selain meningkatkan pelancongan, kita akan dapat kembangkan ekonomi negeri kita.

"Terengganu Inc. sebagai penggerak serta kita akan gunakan mana-mana kemudahan pelancongan yang dimiliki, kita ada hotel dan mula mengendalikan Pulau Poh pertengahan tahun ini begitu juga mempromosikan Tasik Kenyir dan sebagainya.

"Banyak tempat yang kita boleh gunakan untuk capai sasaran peningkatan pelancong di negeri Terengganu," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd., di Perhentian Marriot Resort & Spa, semalam.

MOU tersebut ditandatangani Burhanuddin dan Naib Presiden Komunikasi Strategik Kumpulan, Suridah Supian mewakili Terengganu Inc bersama Pengarah Jenama Huaxia Investment Group, Jun Su dan Timbalan Ketua Pengarah Cultural Tourism Radio and Television Bureau, Lichao Li yang mewakili pihak daerah Xiangxi.

Hadir sama menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Rdzwan Abd Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan Ikhasas Group, Ir Tan Chee Kian.

Burhanuddin turut berterima kasih kepada Perhentian Marriot Resort & Spa yang banyak membantu mempromosikan Terengganu di peringkat antarabangsa.

"Ikhasas Group merupakan pemilik kepada Marriot Perhentian Hotel dan mereka ingin merancakkan ekonomi dengan membawa pelancong-pelancong luar ke Terengganu, saya rasa mereka banyak melabur di Terengganu dan salah satu pelabur penting di sini dalam sektor pelancongan serta beberapa sektor lain yang terlibat dengan Terengganu Inc.

"Saya berterima kasih kepada pengarah urusannya, Mr Tan yang banyak membantu kita dengan mempromosikan Pulau Perhentian sebagai destinasi antarabangsa. Marriot adalah jenama antarabangsa yang mempunyai ramai pelanggan di seluruh dunia dan kita akan saksikan lebih ramai datang ke negeri Terengganu dengan kerjasama mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, Tan Chee Kian menyifatkan jalinan persefahaman yang diusahakan Terengganu Inc. merupakan satu langkah besar.

"Cinta pertama selalunya amat penting, sekurang-kurangnya kita memecahkan persepsi dengan membuatkan delegasi Xiangxi ingin melaburkan wang dan masa datang ke sini.

"Tentunya untuk kali pertama ia bukan mudah, segala yang pertama perlukan kesungguhan, tetapi saya percaya setiap langkah pertama akan ada langkah seterusnya. Semoga dengan langkah ini, kita akan dapat membawa lebih banyak delegasi ke Terengganu dalam sektor pelancongan," katanya.

 

 

 


Tag: