• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Usahawan Disaran Agresif Rebut Peluang Dana RM4.6 Bilion

KUALA TERENGGANU, 11 November - Golongan usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bumiputera disaran lebih agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi peruntukan RM4.6 bilion untuk merancakkan lagi pembangunan PKS.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 Jumaat lalu dilihat berupaya membantu meringankan beban yang dialami usahawan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Justeru, beliau menyeru semua golongan usahawan merebut dan memanfaatkan peluang peruntukan tersebut supaya sektor PKS dapat terus berkembang pada masa depan.Katanya, keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan itu menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Usahawan di negeri ini khususnya perlu merebut peluang kerana banyak peruntukan yang disediakan kerajaan untuk bantu usahawan, malah boleh dikatanya Bajet 2021 sangat memberi tumpuan kepada usahawan yang terkesan akibat COVID-19.

“Terima kasih banyak kepada pihak kerajaan kerana bidang keusahawanan ini dijadikan antara bidang utama yang diberi penekanan dalam pembentangan bajet kali ini dan kita sangat bertuah kerana kerajaan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk bidang keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Katanya, difahamkan daripada jumlah tersebut sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.

“Sebanyak RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

“Sementara RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera,” ujarnya.
 


Tag: