lightning-solid
Berita :
Usahawan Terengganu Perlu Contohi Kejayaan Thailand Tembusi Pasaran Serantau
Usahawan Terengganu Perlu Contohi Kejayaan Thailand Tembusi Pasaran Serantau
Mastura Jamal Din
25 Jul 25
191

HATYAI, 25 Julai - Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu disaran mencontohi kejayaan model perniagaan di Thailand dalam usaha memperluas pasaran produk halal dan beridentitikan negeri ke peringkat serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, kejayaan usahawan Thailand menembusi pasaran global bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan pelan perniagaan yang tersusun.

Menurutnya, antara kekuatan utama mereka adalah kemampuan menjelaskan nilai sesuatu produk kepada pelanggan, sekali gus meyakinkan pengguna tentang manfaat dan kualiti yang ditawarkan.

“Pendekatan ini membolehkan pelanggan memahami fungsi produk dengan jelas dan bersedia membayar harga berpatutan.

“Inilah yang mendorong pertumbuhan pesat sektor PKS di Thailand, terutamanya dalam industri makanan halal, produk kesihatan dan pertanian moden,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa pusat pengeluaran produk herba dan madu di Hatyai, hari ini.

Kunjungan itu melibatkan lebih 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan bagi meneroka potensi pasaran PMKS Terengganu ke Thailand dan negara serantau lain.

Dalam masa sama, Ariffin berkata, kejayaan usahawan Thailand juga banyak bergantung kepada penggunaan strategi pemasaran digital, model francais dan pembangunan jenama secara konsisten.

 “Usahawan Terengganu perlu manfaatkan platform seperti Asean Mall dan memperkuatkan kehadiran produk tempatan di pasaran luar.

“Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan teknikal seperti pembungkusan, pelabelan dan latihan industri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU),” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri komited memperkasakan produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan mengadaptasi pendekatan yang dilaksanakan di Thailand.

“Kita ada banyak produk berkualiti seperti batik, songket dan makanan tradisional seperti keropok lekor yang boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

“Namun usaha ini perlu disokong dengan modal, latihan digital dan jaringan pasaran yang kukuh,” katanya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan