• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ustaz Haslin Bollywood Kongsi Kesedihan Kematian Naim Hariri

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Pendakwah selebriti terkenal, Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haslin Bollywood turut berkongsi kesedihan atas kematian Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang ditemui lemas di Pantai Kelulut, Marang, semalam.

Ustaz Haslin menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, Allahyarham merupakan doktor yang pernah merawat beliau ketika menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal (KPJ Tawakkal).

"Terima kasih banyak buatmu wahai saudara Naim Hariri yang berusaha sepenuh keringatmu membantu aku sehingga dapat bergerak dan berjalan ketika berada di KPJ Tawakal tiga tahun lalu.

"Semoga kebaikanmu sebagai bekalan dan saksi ketika ditemui berada di dalam barzakhmu. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosamu, engkau pergi pada hari yang mulia dan syahid akibat lemas di lautan yang bergelora, terima kasih sekali lagi wahai adindaku, sahabatku dan saudara se-Islam moga damailah dirimu di sana," tulisnya.

Sementara itu, penghantaran pulang jenazah ke Kuala Lumpur serta segala pengurusan kos ditanggung oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

"Perasaan sayu, namun syukur Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin yang dilaporkan hilang di Pantai Alor Tuman telah ditemukan (semalam). Takziah diucapkan buat keluarga mangsa. Doakan keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi kehilangan orang tersayang," kongsi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui akaun Facebooknya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan tiba ke Terengganu bersama keluarga untuk melangsungkan perkahwinannya di sini, namun tragedi telah menimpa dirinya apabila lemas ketika mandi di Pantai Kelulut, Jumaat lalu.


Tag: