lightning-solid
Berita :
Usul Perbekalan Air Terengganu RM6 Juta Diluluskan
Usul Perbekalan Air Terengganu RM6 Juta Diluluskan
Ahmad Zaeem Zainudin
13 Nov 25
802

KUALA TERENGGANU, 13 November - Dewan Undangan Negeri (DUN) telah mencapai persetujuan meluluskan cadangan usul peruntukan daripada Kumpulan Wang Perbekalan Air Negeri Terengganu.

Usul untuk rancangan-rancangan kemajuan pembekalan air negeri bagi tahun 2026 tersebut dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat ketika mengemukakan cadangan usul kedua di Wisma Darul Iman, hari ini.

"Yang Berhormat Dato' Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa menurut Seksyen Kecil (2) kepada Seksyen 4 (2) Enakmen Kumpulan Wang Perbekalan Air 1966. 

"Dewan Undangan Negeri ini membuat ketetapan bersetuju meluluskan peruntukan daripada Kumpulan Wang Perbekalan Air Negeri untuk rancangan-rancangan kemajuan air negeri bagi tahun 2026 sebagaimana ditentukan dalam dalam jadual di bawah ini," cadangnya kepada ahli dewan.

Menurut beliau, jadual tersebut memperincikan tajuk perkara Pembangunan Perbekalan Air - perbelanjaan negeri berjumlah RM6 juta tanpa sebarang pinjaman daripada kerajaan pusat dengan keseluruhan peruntukan bernilai RM6 juta.

"Butiran lanjut bagi maksud peruntukan-peruntukan ini bolehlah ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepada kertas dewan bilangan 19/2025. Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan," tambahnya lagi.

Menyahut cadangan itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong bangkit menyokong usul tersebut sebelum ia diputuskan diterima sebulat suara oleh Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Untuk rekod, kelulusan usul peruntukan terakhir di bawah Enakmen Kumpulan Wang Perbekalan Air 1966 bagi tahun 2024 adalah melalui Waran Am Perbelanjaan Perbekalan Air bertarikh 1 Januari 2024, dengan jumlah RM11 juta. 

Pengurusan sumber air negeri kini turut tertakluk kepada Enakmen Sumber Air Terengganu 2020, yang menubuhkan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) di mana ia mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2020.


Artikel Berkaitan