• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

USWa Sokong Pelaksanaan Syariah Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Februari -  Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyokong tindakan kerajaan negeri mengambil berat dan mengutamakan pelaksanaan syariah Terengganu dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, dengan pelaksanaan tersebut akan membawa rakyat negeri ini hidup dan mengamalkan ajaran Islam yang benar.

“Sebenarnya pelaksanaan syariah negeri Terengganu sedang giat diusahakan dan insya-Allah selepas kita menghadapi dua tahun pandemik COVID-19.

"Kita akan rancakkan kembali pelaksanaan konsisten syariah dan dakwah kepada rakyat yang kini juga sedang bergerak secara berperingkat.

"Saya mengucapkan tahniah kepada usaha-usaha kerajaan laksanakan dalam memastikan pelaksanaan Syariah di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan peraturan Islam ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaannya supaya rakyat Terengganu terjamin, terpelihara dan dilindungi oleh Allah.

“Mungkin peringkat pertama dan fasa awal ini kita beri (nasihat), kita tak terus kepada penguasaan undang-undang atau beri hukuman tetapi kita beri kepada pendidikan dan kesedaran.

“Fokus utama adalah bagi memastikan rakyat faham kenapa perlu mengikut garis panduan yang Islam telah tetapkan,” ujar Sakinah.

Katanya lagi, pendekatan menyampaikan pendidikan dan kesedaran boleh diperluaskan pada pelbagai peringkat bermula seawal bangku sekolah hingga ke peringkat seterusnya.

“Jadi tahun ini alhamdulillah kempen kesedaran dan juga semarak dakwah akan terus digiatkan yang akan dimainkan pelbagai pihak, agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Insya-Allah ini adalah usaha daripada  kerajaan negeri untuk kita satu padukan agensi dan jabatan serta NGO dalam kerja dakwah kepada rakyat,” katanya lagi.