• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Utamakan Projek Pembangunan Untuk Rakyat

Ustaz Ridzuan Hashim
Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Kerajaan negeri tetap meneruskan projek pembangunan yang mendesak termasuk pembinaan rumah kediaman yang menjadi keperluan utama rakyat dengan mengambil kira keperluan semasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, projek-projek pembangunan yang mendesak perlu dilaksanakan untuk kebaikan dan manfaat rakyat pada masa akan datang.

“Projek pembinaan rumah kediaman sebenarnya masih menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat sebab itu ia tetap diteruskan.

“Tetapi jika ada projek-projek pembangunan yang mendesak, kita akan lihat keperluannya seperti cadangan Tapak Kolam Tadahan Di Kampung Tanjung Bunut seluas 20 hektar  yang merupakan salah satu projek dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Nerus 2035 untuk mengatasi masalah banjir berikutan kawasan kolam tadahan sedia ada telah mula dikomersialkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan taklimat dan penerangan mengenai cadangan tapak kolam tadahan di Kampung Tanjung Bunut yang dianjurkan oleh Plan Malaysia Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu (JPS) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat ADUN Buluh Gading di Dewan Sivik Kg Buluh Gading, di sini.

Turut hadir, Pengarah Plan Malaysia Negeri Terengganu, Hajah Rohaya Abd Kadir, Pegawai Perancang Bandar MBKT, Faizah Ngah dan wakil JPS, Anuar Abu Bakar.

Ustaz Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading berkata, taklimat itu sebagai medan terbaik untuk mendapat gambaran sebenar projek supaya penduduk dapat membuat keputusan yang tepat sama ada menerima atau menolak.

“Ini merupakan satu tindakan yang baik dan matang apabila semua pihak bersedia untuk berbincang manakala penduduk di kawasan berkaitan bersedia untuk hadir dalam taklimat ini dan selepas ini satu jawatankuasa bertindak akan diwujudkan untuk mewakili penduduk terlibat agar hak dan kebajikan mereka tidak diabaikan.

“Saya juga menyarankan agar pihak JPS mengambil kira punca banjir yang lain seperti ketiadaan penyelenggaran tali air dan juga longkang utama yang tersumbat sebelum meneruskan projek kolam tadahan ini," ujar beliau.


Tag: