• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Vaksin Lindung Diri Dari Gejala Lebih Teruk

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia disusuli dengan kemampuan mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus.

"Dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Situasi ini menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas di fasa 2 PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) yang dilaksanakan sejak 19 April 2021 telah mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Tambah beliau, begitu juga bagi petugas-petugas KKM yang telah menerima vaksin COVID-19 sejak PICK dimulakan pada 24 Februari 2021.

"Seramai 246,242 petugas telah menerima vaksinasi lengkap dan didapati hanya 4,635 (1.88%) dijangkiti COVID-19.

"Daripada jumlah kes positif tersebut, 4,625 (99.78%) hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

"Manakala hanya 7 kes (0.15%) adalah kategori 3 dan 3 kes (0.06%) adalah kategori 4. Tiada dalam kalangan mereka yang mengalami jangkitan COVID-19 kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya.

Individu yang sudah mendapat suntikan vaksin lengkap di seluruh negara, bakal menikmati beberapa kelonggaran, berkuat kuasa Selasa ini.


Tag: