• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Varian Delta Di Terengganu Bertambah, Tujuh Daerah Berisiko

KUALA TERENGGANU, 13 September – Jangkitan COVID-19 melibatkan varian delta di Terengganu meningkat kepada 12 kes, manakala varian beta sembilan kes, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, ia menjadikan jumlah keseluruhan melonjak kepada 21 kes varian membimbangkan (VOC) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

Katanya, daerah Hulu Terengganu merekodkan kes tertinggi dengan lima kes VOC diikuti Kuala Terengganu dan Besut (empat kes), Marang (tiga kes), Dungun dan Kemaman (dua kes) serta satu di Setiu.

“Kemungkinan besar varian berkenaan sudah pun menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh negeri kecuali daerah Kuala Nerus.

“Fakta ini penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu kerana kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

“Susulan itu, JKNT juga akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti,” jelasnya.

Menurutnya lagi, individu yang telah divaksin juga diingatkan agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mengekalkan pemakaian topeng pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Orang ramai juga perlu mengelakkan diri dari berada di tempat yang sempit dan sesak dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan tangan. Mencegah lebih baik dari merawat perlu sentiasa dalam ingatan,” katanya lagi.