• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Velodrom Azizulhasni Bakal Diuji

KUALA NERUS, 14 Januari - Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun yang telah siap dibina bakal diuji, Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelumba dari Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan bekerjasama untuk pandu uji tersebut.

"Ini bagi memastikan velodrom berkenaan benar-benar selamat atau tidak untuk digunakan nanti.

"Dari sini (pandu uji), kita akan buat 'marking' di tempat-tempat tertentu yang memerlukan pembaikan dan sebagainya.

"Kita harap selepas itu, kita akan dapat menggunakan velodrom itu sepenuhnya untuk rakyat Terengganu berbasikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta 5km International Fun Walk For Peace sempena Hari Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah JBSNT, Mohd Izwandy Ismail yang hadir sama dalam program itu menjelaskan, buat masa ini pandu uji berkenaan dijalankan secara tertutup bagi mengenalpasti keperluan dan penyelesaian kepada masalah-masalah yang mungkin timbul.


Tag: