• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Video Lama Pulau Perhentian, Kerajaan Akan Bertindak

Ariffin Deraman.
Oleh: Nasir Abdullah

KUALA NERUS, 4 Ogos - Dalang yang menyebarkan video lama pesta tarian yang dikatakan disertai dengan tarian separuh bogel, serta orang ramai minum minuman keras secara terbuka di Pantai Long Beach, Pulau Perhentian, sedang dikenal pasti.

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa kebenaran tidak pernah dikeluarkan bagi apa-apa keramaian sebegitu kerana ianya jelas bercanggah bukan sahaja dengan agama Islam, malah budaya orang melayu sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman menegaskan, pihak berkuasa yang terlibat, sentiasa memantau aktiviti-aktiviti tidak bermoral di Pulau Perhentian dan tiada permit dikeluarkan sebelum ini.

“Sebenarnya ada beberapa isu yang berlaku di pulau, antaranya mereka meminum arak secara terbuka, lepas tu, tindakan sudah diambil oleh Majlis Daerah Besut (MDB).

“Dan selepas daripada peristiwa itu, tak ada maklumat, sehingga berlaku beberapa hari yang lalu itu, mengejutkan kita.

“Insya Allah, kita sedang mengambil tindakan, kita sedang mengenal pasti, siapa dalangnya, dan kita (Kerajaan Negeri) berpendirian, perkara ini tidak patut berlaku,” tegas beliau.

Dua minggu lepas, beliau bersama YB Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, secara kebetulan dapat melihat sendiri aktiviti-aktiviti pelancongan di sana dan tiada didapati perkara yang menyalahi peraturan.

Menurut beliau, tindakan yang lebih tegas serta penguatkuasaan lebih ketat akan diambil ke atas pengusaha-pengusaha pusat pelancongan yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri kerana ia boleh mencalarkan imej Terengganu.

Untuk itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan imej kerajaan Islam Terengganu dipertahankan.

Ariffin juga menjelaskan, Kerajaan Negeri sangat gembira dengan kedatangan pelancong ke Terengganu, tetapi keperluan menghormati agama dan budaya di sini, perlu diutamakan pelancong.

Tag: