Wabak Kuku Dan Mulut Masih Terkawal

DUNGUN, 29 Ogos - Wabak penyakit mulut dan kuku (FMD) melibatkan ternakan lembu di Terengganu kini masih terkawal dan tidak membimbangkan apabila mencatatkan penurunan dari lapan kes pada 2022 kepada lima kes pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata berdasarkan penurunan tersebut beliau menyasarkan sifar kes FMD pada masa akan datang.

Katanya melalui program simulasi yang diadakan, ia lebih kepada langkah pencegahan dari pelbagai aspek sehingga kepada sekatan jalan raya untuk mengawal pemindahan ternakan disamping pemberian vaksin.

"Ini adalah antara langkah pencegahan yang diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengelakkan dari penyakit yang boleh menjejaskan industri penternakan kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Simulasi Penyakit FMD di Institut Veterinar Wilayah Timur, di sini hari ini.

Justeru itu katanya, fokus JPV lebih kepada  pencegahan dan untuk merawat ternakan dari dijangkiti wabak dan seterusnya merebak.

" Buat masa sekarang keadaan terkawal dan tindakan segera akan diambil JPV sekiranya ada laporan berkaitan dengan kes yang melibatkan ternakan," ujarnya.

Jelasnya lagi, hampir 16,000 ekor lembu di negeri ini telah menerima vaksin setiap tahun melalui peruntukan negeri dan kerajaan pusat  terutama di kawasan yang berisiko.