• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Wahai Kaki Pancing! Sungai Cacing Kini Dibuka

HULU TERENGGANU, 23 Mei - Lokasi idaman para penggemar aktiviti memancing di Tasik Kenyir iaitu Sungai Cacing telah dibuka kepada umum, bermula minggu ini.

Sungai Cacing, salah satu dari empat sungai yang terletak dalam kawasan Taman Negara Terengganu menjadi lokasi yang diimpikan pemancing tegar.

Menurut Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abd Aziz Abd Rahim, pembukaan sungai berkenaan sememangnya dinantikan oleh kaki-kaki pancing terutama yang ' mesra' dengan Tasik Kenyir.

"Sungai Cacing memang dari dulu terkenal di mana ia memiliki spesies berharga seperti Kelah yang menjadi tarikan pemancing.

"Mereka memang menunggu pengumuman ini dan berita ini akan menarik kaki-kaki pancing untuk berkunjung.

"Kami akan menghebahkan kepada pengusaha dan pengunjung cuma, apabila ingin masuk ke sini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak Taman Negara Terengganu dan Perhilitan seperti membeli permit memancing dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Sungai Cacing, semalam.

Tambahnya, para penggiat pelancongan di tasik Kenyir juga akan bekerjasama dalam peraturan yang telah ditetapkan Perhilitan dipatuhi pengunjung dalam usaha mengekalkan kelestarian khazanah alam di sungai berkenaan.

Salah seorang pengusaha bot di Tasik Kenyir, Sulong Mustafa pula amat berterima kasih kepada pihak Taman Negara Terengganu Perhilitan kerana membenarkan pembukaan Sungai Cacing untuk aktiviti memancing.

"Paling tidak, kami boleh mempromosikan produk ini kepada pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu turut menyokong usaha tersebut dengan melepaskan 20,000 benih ikan asli ke sungai berkenaan.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berharap usaha dilakukan dapat meningkatkan sumber ikan asli di Terengganu khususnya di Sungai Cacing, disamping menambah kepelbagaian sumber perikanan darat dalam negara.

"Kita telah melepaskan benih ikan asli terdiri daripada ikan Terbul dan Lampam.

"Semoga program pengayaan sumber perikanan darat ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong dan pelbagai aktiviti di sini," katanya.

Sebagai makluman, bagi pengunjung yang berminat untuk menjelajahi Sungai Cacing, kos permit untuk masuk bernilai seringgit dikenakan bagi tempoh masa 8.00 pagi sehingga 5.00 petang kerana ia terletak di dalam Taman Negara Terengganu.

Manakala, permit kamera bernilai RM5 dan permit pancing sebanyak RM10 bagi satu joran.


Tag: