• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Wakil Rakyat Perlu Menjadi Pendengar Yang Baik

 

KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Setiap wakil rakyat sewajarnya menjadi pendengar yang baik, selain perlu bijak meneroka ilmu pentadbiran dan ilmu komunikasi dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)  Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apabila seseorang itu diamanahkan menjadi wakil rakyat, perkara tersebut perlu ada dalam diri, selain perlu berpegang kepada tiga perkara utama.

Katanya, antaranya bertanggungjawab  kepada rakyat di mana perlu menjadi  pegawai kebajikan untuk menyelesaikan masalah komuniti dalam kawasan yang diwakili.

“Kedua, tanggungjawab kita kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai ahli badan legislatif.

“Kita perlu membuat persediaan dan 'homework' untuk bercakap dalam dewan sama ada untuk kemuka soalan, perbahasan usul-usul dan rang enakmen sebelum ia diluluskan dan juga dalam jawatankuasa terpilih yang diluluskan oleh DUN

“Manakala yang ketiga sewajarnya bertanggungjawab kepada parti yang diwakili di mana perlu tertakluk kepada keputusan dan arahan parti dari masa ke semasa.,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemantapan ADUN Terengganu di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.

Dato’ Yahaya, berkata walaupun banyak cabaran yang dihadapi, setiap wakil rakyat  mesti bergerak ke hadapan seiring dengan tuntutan dan perkembangan semasa.

“Langkah itu  bagi mengukuhkan badan legislatif kita dengan pembaharuan yang tidak bercanggah dengan perlembagaan dan konsep perimbangan kuasa.

“Saya berpendapat apa sahaja pembaharuan yang ingin dibuat mestilah dalam konteks saling bekerjasama dengan pihak eksekutif yang mentadbir kerajaan,” katanya.
 


Tag: