• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Waladun Soleh Bakal Lahir Generasi Genius al-Quran

KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)  menyasarkan sekurang-kurangnya 1,600 ibu mengandung di negeri ini dapat mengikuti Program Waladun Soleh yang mula diperkenalkan pihak itu bermula pertengahan September lalu.

Waladun Soleh adalah program stimulasi janin atau kaedah pendengaran audio bunyi-bunyian asas surah-surah al-Quran kepada kandungan seawal usia tiga bulan.

Mendapat kerjasama Al-Baghdadi Prenatal Education bertujuan melahirkan lebih ramai  generasi genius al-Quran pada masa akan datang.

Pengarah YPKT Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, program itu menumpukan sekurang-kurangnya 200 ibu mengandung di setiap daerah atau 1,600 ibu mengandung di Terengganu yang mendapat manfaat.

Katanya, pihaknya mula perkenalkannya pada September lalu melibatkan ibu mengandung di daerah Hulu Terengganu, seterusnya Dungun dan Kemaman.

"Bagi daerah seterusnya terpaksa ditangguhkan buat seketika  akibat penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing

"Pemilihan peserta, pihak kami lebih mengutamakan ibu bapa kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) untuk menyertai program secara bersiri itu," katanya.

Menurutnya, istimewanya program tanpa bayaran itu, mampu memberi pendedahan terkini dan tepat kaedah mendidik anak bermula daripada janin mengikut ajaran islam.

"Tatacara modul yang dibangunkan itu tidak lari daripada parameter syariah. Yang lebih pasti barakah daripada program itu dapat melahirkan sebuah keluarga sakinah dan mawaddah.

"Testimoni peserta sangat membanggakan kerana masing-masing mengakui apa yang diikuti itu sangat menyeronokkan, rasa teruja, tenang dan mudah untuk dipratikkan ketika berada di rumah.

"Oleh itu bakal ibu sewajarnya merebut peluang itu kerana bukan sahaja percuma malah dapat berkongsi pengalaman bersama bakal ibu-ibu lain," katanya.

 


Tag: